Thursday, January 19, 2012

di bawah telapak kaki

Dia duduk di ruang balkoni dan merenung bulan yang separa penuh. Perlahan, bulan itu kelihatan bergenang di matanya. Peristiwa petang tadi masih gagal dipadam, malah telah menguatkan lagi ingatannya pada peristiwa silam.

Dalam usia yang masih belum mengerti tentang kehidupan, dia ditinggalkan. Hari itu merupakan hari yang kejam kerana perempuan itu meninggalkannya tanpa rasa belas kasihan. Lukisan dengan warna crayon yang baru ditampal di peti sejuk masih terang warnanya. Masih segar warna crayonnya.

Enam tahun adalah usia kanak-kanak yang tak dapat dicerita keindahannya. Keseronokan bermain bersama kawan-kawan, keriuhan dalam setiap permainan serta keriangan dalam membentuk sedikit daripada kehidupan. Tapi dia merasa sebaliknya.

Kedatangan Makcik Zaleha ke rumahnya dengan sebuah khabar berita memang terlalu mengejutkan. Dia tak mampu berkata-kata dan membuat keputusan. Dia teringat pada arwah bapanya. Arwah bapanya tidak pernah memburukkan malah mengajarnya dengan penuh cermat.

Tetapi dia benci segala-galanya tentang perempuan itu. Namanya, wajahnya, baunya juga bayangnya. Waktu perempuan itu pergi dan meninggalkannya, dia cuma seorang anak kecil yang menjerit memanggil "ibu" dengan sekuat hati. Dan jeritannya tidak diperduli.

Namun, perempuan itu sekarang dihukum oleh perbuatannya sendiri. Dia terlantar sakit menderita. Keinginannya cuma satu. Seperti yang diceritakan oleh Makcik Zaleha, perempuan itu ingin menemui anaknya yang pernah dia tinggalkan dulu.  

Airmatanya bergenang lagi. Pandangannya dialihkan ke lantai balkoni. Dia menyeka pipi. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dia berjanji bahawa neraka yang dulunya berada di bawah tapak kaki itu, akan berbau syurga kembali.

Dia janji.

1 comments:

AzwanRamli said...

Erm,dendam tak bawa kemana.Nice story.