Friday, October 7, 2011

Pada Semilir yang Singgah

Malam menyaksikan aku dipeluk sunyi. Sepi mencekik-cekik kerongkong, hingga nafas tidak beralun sempurna. Aku mendengar betul-betul pergerakan semilir keluar masuk dari ruang jendela. Kipas tidak bergerak, namun bukan tanda rosak. Antara ruang dan waktu itu, cuma helaian kain putih yang melindungi jendela yang terbuka.

Aku bergerak ke situ. Ada cahaya bulan yang sedikit tidak kelihatan, tapi tetap tergambar di hampar angkasa. Pohon hijau menjadi hitam. Lampu-lampu di bangunan dan jalanraya perlahan-lahan padam satu persatu.

Hitam.

Aku menumpu sepenuh hati pada alurnya. Aku tahu, semilir ini sepi. Seperti aku dan jiwa ini. Tidak bernyanyi, tidak berhuni. Perlahannya, mataku celik tapi pandangku hitam. Aku ingin melihat tetapi tetap tak nampak. Aku cuba menyentuh tetapi tak pernah kena. Sedang aku terlalu ingin. Sedang aku amat kepingin.

Aku ingin memeluk tetapi lengan ini belum cukup gagah. Aku ingin menarik tetapi senantiasa ditolak. Maka, aku benar-benar hitamkan pandanganku kerana aku takut untuk membisik padanya. Sesungguhnya, aku terlalu malu dengan aku.

* * *

Mataku masih terpejam. Sehingga satu senyuman membentuk di wajahku pabila semilir itu datang memeluk, menyentuh dan menghuni ranjangku. Malam tidak sepi lagi. Semilirku, walaupun tidak lagi sunyi, ia akan tetap berlalu pergi. Aku tahu.

Dan kami akan kembali menyendiri. Masing tiada tahu, masing tiada tuju.

4 comments:

Anonymous said...

ni salah satu sbb knp lambat ideology lambat siap..

Para Jamaludin said...

cis. parali!

Anonymous said...

baru saya perasan skng "parali" tu x best!!!!

Para Jamaludin said...

terpulang.