Tuesday, April 19, 2011

Half

Si gadis menghenyak punggungnya ke pasir, memandang laut yang luas dan lepas. Angin yang datang, seolah memeluknya dan merasai dingin hatinya. Tangannya leka menguis-nguis pasir pantai yang jingga dibias mentari senja.

Si gadis ini memandang ciptaan Tuhan. Dilihatnya awan, ada yang berbentuk hati, tapi cuma separuh. Dilihatnya mentari dengan mata yang sedikit mengecil, setengah dari saiz bulatnya mentari itu juga sudah tenggelam terlindung dek laut. Meninggalkan cuma setengah yang tertancap pada kedua anak mata si gadis.

Kemudian, dia memandang dirinya sendiri. Tangan kanannya digenggam, tapi rasanya aneh kerana tak ada yang menyambut. Dia menyatukan genggaman tangan kanan dan tangan kirinya. Ketat, tetapi menjadikannya tak bebas untuk bergerak.

Si gadis faham. Tangan kanannya perlu digenggam orang lain untuk seiring, untuk memimpin, untuk mendorong, untuk bersama dalam apa jua hal dan masalah. Jika tidak, ia kelihatan seperti tidak lengkap. Seperti awan berbentuk hati yang cuma separuh, yang tidak lengkap bentuk hati itu jika tidak ada yang lagi separuh.

Perlahan-lahan, si gadis bangun, dengan kekuatan yang peling lemah dalam diri, dia mengeluh,
"Seperti aku, yang cuma separuh, tanpa kau"

2 comments:

amir said...

"tangan kanannya digenggam, tapi rasanya aneh kerana tak ada yang menyambut"

aku rasa ini satu gambaran yang agak menghibakan. boleh terasa sebak nafas.

Para Jamaludin said...

=)
kerana genggaman itu tak ada apa-apa. lebih tepat, tak ada siapa-siapa.